ULASAN JURNAL KAJIAN KUANTITATIF



JURNAL 1
Zaidatun Tasir, Jamalludin Harun & Lim S.Y. 2006. Faktor Penggunaan Komputer Dan Kaitannya Dengan Kesediaan Mengikuti Pembelajaran Dalam Talian Di Kalangan Pelajar Sarjana. Jurnal Teknologi. Vol. 44 (E) Jun 2006: 75-91.

Artikel ini menerangkan kajian berbentuk kuantitatif, yang mengkaji faktor-faktor penggunaan komputer dari segi sikap terhadap komputer, kecelikan dan kemudahan komputer terhadap pelajar Sarjana Universiti Teknologi Malaysia. Kajian ini menerangkan perkara yang menjadi faktor utama penggunaan komputer dalam kalangan responden yang terpilih. Setiap kajian berkenaan penggunaan komputer dalam kalangan pelajar telah dilakukan. Antara aspek yang telah dikaji ialah sikap dan persepsi pelajar, bilik dan sifat penggunaan komputer di sekolah tinggi, faktor-faktor penggunaan komputer di sekolah-sekolah, hubungan pembacaan dengan penggunaan komputer di kalangan remaja dan perbezaan umur dan jantina dalam penggunaan dan sikap terhadap komputer di kalangan pelajar sekolah menengah. Walaubagaimanapun, setakat artikel ini ditulis, belum ada kajian berkenan penggunaan komputer dalam kalangan pelajar Sarjana. Kajian ini telah mencapai objektif dan menjawab kesemua persoalan kajian. Analisis deskriptif terhadap sikap, kecelikan, dan kemudahan komputer menunjukkan bahawa pelajar-pelajar sarjana bersikap positif terhadap penggunaan komputer, tahap kecelikan komputer yang sederhana dan beranggapan bahawa kemudahan di tempat pengajian mereka adalah tidak mencukupi.















IMPLIKASI TERHADAP PENDIDIKAN KOMPUTER
Dalam bidang pendidikan terutamanya pendidikan komputer, penggunaan teknologi maklumat (ICT) telah menjadi satu aspek yang amat penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Tanpa menggunakan teknologi ICT seperti komputer, pendidik boleh dianggap tidak mengikut arus teknologi terkini. Ini adalah kerana teknologi ICT memberi kemudahan dari segi peningkatan mutu kerja seorang pendidik. Seterusnya menjadikan proses P&P lebih menarik dan berkesan.




JURNAL 2
Hinostroza, J.E., Labbé, C. & Claro, M. 2005. ICT In Chilean Schools : Students' And Teachers' Access To And Use Of ICT Human Technology. Journal on Humans in ICT EnvironmentsVolume 1 (2), October 2005, 246-264.

Artikel ini menerangkan satu kajian yang dijalankan ke atas pelajar dan guru di Chile. Kajian ini berbentuk kuantitatif dan bertujuan untuk mengkaji penggunaan ICT di sekolah, kemahiran ICT dalam kalangan guru dan pelajar dan aktiviti yang dilakukan oleh guru dan pelajar dengan menggunakan kemudahan ICT. Kajian ini melibatkan soal selidik secara manual (atas kertas) dan soal selidik dalam talian (online questionnaire). Instrumen soal selidik diadaptasi dari instrumen yang dibangunkan oleh UNESCO ICT. Soal selidik dibahagikan kepada tiga jenis: (1) Soal selidik untuk koordinator makmal computer, (2) Soal selidik untuk guru-guru dan (3) Soal selidik untuk pelajar. Sampel kajian dipilih secara rawak berstrata. Dapatan kajian menunjukkan majoriti komputer di sekolah rendah dan menengah di Chile diletakkan di makmal komputer. Oleh itu, adalah dicadangkan supaya diwujudkan network bagi memudahkan guru dan pelajar menggunakan kemudahan ICT tersebut di luar makmal komputer. Dapatan kajian juga menunjukkan penggunaan komputer adalah maksimum ketika waktu persekolahan berbanding hari minggu. Kebanyakan aktiviti yang berteraskan ICT juga lebih banyak dilakukan di dalam makmal komputer pada hari persekolahan.

IMPLIKASI TERHADAP PENDIDIKAN KOMPUTER
Kemudahan ICT, Internet dan yang seumpamanya di peringkat sekolah dan pusat pendidikan tinggi amat membantukan pelajar dan juga guru / pensyarah. Kemudahan ini bukan lagi suatu kemewahan malah ia telah menjadi satu keperluan kepada warga pelajar serta pendidik. Pembangunan yang pesat dalam bidang teknologi maklumat  menyebabkan pendidikan komputer semakin dipandang tinggi oleh masyarakat khususnya warga pendidik. Situasi yang sama berlaku di Malaysia, di mana warga pendidik harus mempunyai pengetahuan asas dan kemahiran asas dalam pengendalian peralatan ICT / perisian kursus, bagi memantapkan strategi P&P.


JURNAL 3



Rakes, G.C., Fields, V.S & Cox, K.E. 2006. The Influence of Teachers' Technology Use on Instructional Practices. Journal of Research on Technology in Education. Summer 2006. 38(4). Halaman 409.

Artikel ini menerangkan satu kajian yang dijalankan untuk mengkaji hubungan di antara penggunaan teknologi dan kemahiran penggunaan teknologi serta penggunaan pengajaran secara konstruktivisme dalam kalangan guru-guru di luar bandar. Kajian ini berbentuk kuantitatif dan menggunakan soal selidik sebagai instrumen dengan 50 item. Sampel adalah jenis sampel bertujuan (purposive sampling) dan seramai 186 responden telah dipilh. Dapatan kajian menunjukkan penggunaan teknologi dalam kalangan guru sekolah luar bandar amat rendah. Dapatan juga menunjukkan latihan teknologi yang diberikan kepada guru-guru tidak memberi impak yang besar terhadap penggunaan teknologi di sekolah. Guru-guru yang mempunyai kemahiran asas teknologi mempunyai tahap penggunaan teknologi yang sederhana bagi menyokong pengajaran konstruktivisme di sekolah. Penekanan terhadap penggunaan teknologi di sekolah luar bandar seharusnya disokong oleh latihan untuk pembangunan staf bagi memotivasikan guru-guru terhadap penggunaan teknologi secara optimum.

IMPLIKASI TERHADAP PENDIDIKAN KOMPUTER
Penggunaan teknologi terkini khususnya ICT perlu dipromosikan kepada warga pendidik tidak kira status sekolah bandar atau luar bandar. Pengetahuan asas dan kemahiran asas ICT perlu disebarkan dan diterapkan dalam P&P untuk menjadikan P&P lebih bervariasi, di samping meningkat motivasi pelajar untuk belajar serta motivasi guru untuk mengajar. Penekanan penggunaan teknologi / ICT di luar bandar perlu diperluaskan lagi dengan memberi kemudahan yang mencukupi, sokongan dan latihan kepada guru serta penggunaan peralatan yang berterusan.