ARTIKEL KUANTITATIF

Hubungan Pencapaian Dan Gaya Pembelajaran Pelajar Dalam Pengaturcaraan Di Sekolah Menengah Harian

ABSTRAK

Information and Communication Technology Literacy (ICTL) for Secondary Schools merupakan kesinambungan daripada program ICTL yang dilaksanakan di peringkat sekolah rendah. Objektif program ini adalah untuk menghasilkan pelajar yang celik komputer, selaras dengan aspirasi Kementerian Pelajaran Malaysia untuk menghasilkan insan individu yang holistik yang termaktub di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pembelajaran pengaturcaraan di peringkat sekolah menengah merupakan salah satu kandungan yang terdapat di dalam silibus ICTL dan ICT. Bahasa pengaturcaraan Visual Basic merupakan persekitaran (platform) yang digunakan oleh guru untuk mengajar topik ini. Kajian ini menggunakan reka bentuk kajian tinjauan dan bertujuan untuk mengenal pasti tahap pencapaian pelajar dalam pengaturcaraan dan gaya pembelajaran pelajar dalam pengaturcaraan. Kajian ini juga dijalankan untuk menentukan hubungan antara tahap pencapaian pelajar dalam pengaturcaraan dengan gaya pembelajaran pelajar dalam pengaturcaraan. Kajian ini melibatkan 60 orang pelajar ICT dan ICTL dari salah sebuah sekolah menengah harian di kawasan Kajang. Dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap pencapaian pelajar mempunyai hubungan positif yang signifikan dengan gaya pembelajaran mereka dalam pengaturcaraan. Walaubagaimanapun, hubungan ini merupakan hubungan yang lemah berdasarkan analisis dapatan kajian yang telah diperoleh.