ULASAN JURNAL KAJIAN PEMBINAAN

JURNAL 1

Norasykin binti Mohd Zaid & Nurul Shimaa Binti Othaman. 2010.  Pembangunan Perisian Pembelajaran Berbantukan Komputer (PBK) Bagi Kursus Bahasa Pengaturcaraan II (Visual Basic). Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia.

Artikel ini menjelaskan berkenaan projek kajian pembangunan perisian Pembelajaran Berbantukan Komputer (PBK) bagi kursus Bahasa Pengaturcaraan Visual Basic dengan menggunakan pendekatan Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBM). Perisian ini menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan menggunakan model Reka Bentuk Instruksi Bersistem (Instructional System Design – ISD) Hanaffin & Peck sebagai panduan.

Kajian ini dilakukan kerana kaedah tutorial sedia ada membosankan dan tidak dapat menarik minat pelajar untuk belajar kerana persekitaran pembelajaran yang dibina tidak menarik dan interaktif. Penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar juga merupakan punca mengapa perisian kursus tersebut kurang digunakan sebagai sumber rujukan oleh pelajar.

Kajian ini dijalankan dengan tujuan mereka bentuk dan membangunkan satu perisian Pembelajaran Berbantukan Komputer (PBK) bagi kursus Bahasa Pengaturcaraan Visual Basic dengan menggunakan pendekatan Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBM). Kajian ini juga bertujuan membangunkan perisian yang interaktif dan menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Pengkaji mengharapkan pembinaan perisian ini dapat memanfaatkan semua pihak termasuk pelajar, pensyarah, fakulti dan juga university secara amnya.

Artikel ini juga menerangkan serba sedikit berkenaan screen shot perisian seperti antara muka permulaan perisian, menu utama perisian dan pengenalan. Pengkaji menggunakan Macromedia Authorware 7.0 sebagai perisian utama dan beberapa perisian lain sebagai perisian sokongan iaitu Adobe Photoshop CS2, Macromedia Flash 8, Sony Sound Forge 7.0 dan Camtasia Studio 5.

IMPLIKASI TERHADAP PENDIDIKAN KOMPUTER
Kajian pembinaan / pembangunan perisian bukan sahaja dapat dimanfaatkan kepada pelajar dan pensyarah / guru / pendidik, malah memberi impak yang besar kepada bidang pendidikan terutamanya pendidikan komputer. Ini adalah kerana pembangunan perisian dapat mengintegrasikan kandungan (content) mata pelajaran dengan ICT sebagai alat bantu mengajar yang efektif dan interaktif. Secara tidak langsung, pembinaan perisian dapat  membantu mengatasi masalah kaedah pembelajaran secara tutorial yang membosankan dan kurang interaktif.

  
JURNAL 2

Noor Azean Binti Atan & Siti Nur’ain Binti Mohd.Said. 2010. Pembangunan Laman Web Berasaskan Pendekatan Pemikiran Kritis Dan Penyelesaian Masalah Bagi Subjek Bahasa Pengaturcaraan I (C++). Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia.

Artikel ini menerangkan berkenaan pembangunan laman web PBK bagi subjek Bahasa Pengaturcaraan C++. Ia dibangunkan berasaskan model rekabentuk Hannafin and Peck dan menggunakan kaedah tutorial serta mengaplikasikan dua strategi iaitu penyelesaian masalah dan pemikiran kritis.

Kajian ini dijalankan untuk mengatasi beberapa masalah yang berkaitan dengan proses P&P bagi subjek Bahasa Pengaturcaraan C++  seperti kaedah syarahan di dalam kelas serta amali di dalam makmal yang tidak begitu efektif, serta proses penilaian berasaskan kertas (paper-base assessment) yang tidak standard.

Pengkaji / Pembangun telah memilih model rekabentuk Hannafin dan Peck sebagai panduan untuk membangunkan laman web ini. Terdapat empat fasa utama iaitu Fasa Analisa Keperluan, Fasa Rekabentuk, serta Fasa Pembangunan dan Perlaksanaan. Manakala Fasa Penilaian dan Pengulangan pula akan dilaksanakan pada setiap fasa yang telah disebutkan, secara berterusan.

Artikel ini juga menerangkan serba sedikit berkenaan screen shot perisian seperti paparan persembahan montaj dan paparan Home. Pengkaji menggunakan Macromedia Dreamweaver MX 2004 sebagai bahasa pengarangan di samping penggunaan coding HTML dan Javascript.

IMPLIKASI TERHADAP PENDIDIKAN KOMPUTER
Dalam pendidikan komputer, suasana pembelajaran berasaskan laman web membolehkan pembelajaran kendiri dilaksanakan dengan lebih berkesan. Pembinaan laman web diharapkan memberi manfaat yang sewajarnya kepada pengguna / pelajar di samping membantu mereka dalam mewujudkan situasi pembelajaran yang menarik, menyeronokkan dan interaktif.