ULASAN BUKU


Creswell, J.W. 2005. Educational Research. Planning, Conducting and Evaluating Quantitative and Qualitative Research. Second Edition. Pearson, Merill Prentice Hall. 623 halaman.

Pengenalan
Buku ini adalah teks pengenalan dalam penyelidikan pendidikan yang memberi penjelasan terperinci berkenaan kaedah kuantitatif dan kualitatif. Ditulis dalam bahasa yang mudah dan praktikal, buku ini amat membantu penyelidik yang baru mula menceburi bidang penyelidikan.

Buku ini ditulis oleh Dr John W. Creswell. Beliau merupakan pensyarah psikologi pendidikan di Maktab Perguruan, University Of Nebraska-Lincon. Buku ini dibahagikan kepada tiga bahagian yang terdiri daripada 18 bab yang menceritakan perkara-perkara yang berkaitan dengan penyelidikan pendidikan.


Bahagian 1 : An Introduction to Educational Research

Dalam Bab 1 (The Process of Conducting Research), penulis mendefinisikan penyelidikan sebagai suatu proses mengumpul dan menganalisis maklumat untuk meningkatkan pemahaman terhadap sesuatu topik atau isu. Langkah-langkah penting dalam proses penyelidikan terdiri daripada (i) Mengenalpasti masalah kajian, (ii) Membuat kajian kepustakaan, (iii) Menentukan tujuan kajian, (iv) Mengumpul data, (v) menganalisis dan menginterpretasi data, dan (vi) Menilai dan membuat laporan penyelidikan.

Dalam bab ini juga, penulis juga menjelaskan berkenaan kemahiran yang perlu ada pada seorang penyelidik. Menurut penulis, penyelidik perlu bijak membahagikan masa untuk melalui kesemua proses penyelidikan seperti melakukan aktiviti kajian kepustakaan, melakukan kutipan data seterusnya menganalisis data.

Dalam Bab 2 pula (Quantitative and Qualitative Approaches), penulis menerangkan perbezaan di antara penyelidikan kuantitatif dan kualitatif.
Penyelidikan kuantitatif merupakan penyelidikan pendidikan di mana penyelidik menentukan apa yang hendak dikaji, mempersoalkan soalan spesifik, mengumpul data numerik daripada peserta, menganalisis menggunakan statistik dan melaksanakan penyelidikan secara tidak bias. Penyelidikan kuantitatif bercirikan penekanan terhadap pengumpulan dan penganalisaan maklumat dalam bentuk nombor, mengumpul skor yang mengukur sifat individu dan organisasi, prosedur membandingkan kumpulan atau faktor yang berhubungan mengenai individu atau kumpulan dalam eksperimen, kajian hubungan dan tinjauan.

Penyelidikan kualitatif pula merupakan penyelidikan pendidikan di mana penyelidik bergantung kepada pandangan peserta, menanyakan soalan yang luas dan umum, mengumpul data yang berbentuk perkataan atau teks daripada peserta, menghuraikan dan menganalisis perkataan tersebut kepada tema dan menjalankan kajian dengan cara subjektif. Penyelidikan kualitatif memerlukan penyelidik mendengar pandangan peserta di dalam kajian, bertanya soalan umum, soalan terbuka dan mengumpul data di tempat manusia hidup dan bekerja serta berperanan dalam menggalakkan perubahan dan pembaikan kehidupan individu.

Menurut penulis lagi, pemilihan pendekatan rekabentuk kualitatif atau kuantitatif bergantung kepada kesesuaian masalah kajian. Masalah kajian yang  paling sesuai bagi pendekatan kuantitatif ialah di mana penerangan perlu dilakukan. Bagi penyelidikan kualitatif, masalah perlu diteroka untuk memperolehi pemahaman mendalam.


Bahagian 2 : The Step in the Process of Research

Dalam Bab 3 (Identifying a Research Problem), penulis menjelaskan berkenaan masalah kajian, tujuan kajian dan persoalan kajian. Masalah kajian ialah isu pendidikan, kontroversi atau perkara-perkara yang berkenaan dengan kajian penyelidik. Beberapa perkara perlu dikenalpasti oleh penyelidik seperti (i) Isu atau masalah yang hendak dikaji, (ii) isu yang memandu ke arah keperluan kajian, (iii) implikasi yang akan berlaku jika kajian berjaya dilaksanakan.

Dalam bab ini juga penulis menerangkan perbezaan di antara masalah kajian, tujuan kajian dan persoalan kajian. Masalah kajian merupakan isu atau kontroversi masalah pendidikan berkaitan dengan penyelidikan yang menjurus kepada topik tersebut. Tujuan merupakan tumpuan utama atau objektif kajian yang digunakan untuk menuju kepada masalah. Persoalan kajian mengecilkan tujuan kepada persoalan spesifik yang penyelidik hendak menjawab atau ditujukan di dalam kajian.

Pernyataan masalah mengandungi masalah sebenar kajian dan lima aspek  yang lain iaitu topik, masalah kajian, pembuktian kepentingan masalah yang ditemui dalam kajian lepas dan sedang berlaku, kekurangan di dalam pengetahuan sedia ada mengenai masalah dan audiens yang akan memperolehi manfaat daripada kajian masalah. Pernyataan masalah memberikan kerangka awal dalam memahami keseluruhan topik kajian. Menurut penulis, penyelidik perlu memberikan beberapa sebab mengapa isu yang ingin dikaji penting. Pembuktian masalah kajian perlu untuk mempersembahkan sebab kepentingan mengkaji sesuatu isu.

Bab 4 (Reviewing the Literature) pula, penulis menerangkan tentang Tinjauan Literatur atau Kajian Kepustakaan. Tinjauan literatur merupakan rumusan bertulis seperti artikel jurnal, buku dan dokumen lain yang menghuraikan keadaan lepas dan semasa berkenaan maklumat, mengorganisasikan literatur kepada topik dan mendokumenkan keperluan untuk tujuan kajian. Penyelidik menjalankan tinjauan literatur sebagai langkah permulaan dalam proses penyelidikan.

Bab 5 (Specifying a Purpose and Research Questions or Hypotheses) menjelaskan perbezaan di antara tujuan, soalan kajian, hipotesis dan objektif kajian. Tujuan kajian merupakan pernyataan yang mendahului kesemua fokus kajian. Penyelidik menghuraikan tujuan kajian dalam bentuk satu atau lebih ringkasan ayat. Persoalan kajian merupakan soalan di dalam penyelidikan kuantitatif dan kualitatif yang mengecilkan tujuan kepada soalan spesifik yang cuba dijawab oleh penyelidik. Hipotesis pula merupakan pernyataan dalam penyelidikan di mana penyelidik melakukan ramalan atau tekaan mengenai hasil perhubungan di antara sifat atau ciri. Objektif kajian merupakan pernyataan bertujuan digunakan dalam penyelidikan yang memperincikan matlamat dan objektif kajian.

Dalam Bab 6 (Collecting Quantitative Data), penulis menjelaskan tentang pengumpulan data kuantitatif yang terdiri dari 5 langkah iaitu (i) Memilih peserta kajian, (ii) Mendapatkan kebenaran daripada peserta yang terlibat, (iii) Menentukan jenis pungutan data, (iv) Menetapkan, mengubahsuai dan membentuk instrument dan (v) Mengumpul data

Perwakilan merujuk kepada pemilihan individu daripada sampel dalam satu populasi iaitu individu yang dipilih adalah biasa kepada populasi yang dikaji, yang membolehkan penyelidik membuat kesimpulan daripada sampel terhadap semua populasi secara keseluruhan.
Populasi merupakan kumpulan individu yang mempunyai ciri yang sama
Sampel merupakan sebahagian populasi sasaran yang dipilih oleh penyelidik untuk mewakili bagi membuat generalisasi mengenai keseluruhan populasi sasaran.
Menurut penulis, penyelidik boleh menggunakan pendekatan pensampelan kebarangkalian atau bukan kebarangkalian (probability and nonprobability sampling) di dalam penyelidikan kuantitatif.

Dalam Bab 7 (Analysing and Interpreting Quantitative Data), penulis menjelaskan tentang proses menganalisa dan memperihalkan data kuantitatif. Statistik diskriptif digunakan bagi membantu penyelidik merumus semua trend atau kecenderungan di dalam data (min, mod, median), serakan skor( varians, sisihan piawai dan julat). Min atau purata merupakan statistik yang paling popular digunakan untuk menghuraikan respon semua peserta terhadap item instrumen. Median merupakan nilai tengah di antara semua skor manakala mod ialah skor yang mempunyai kekerapan tertinggi. Julat skor merupakan perbezaan antara skor tertinggi dengan terendah item dalam instrumen. Varians menunjukkan serakan skor disekitar min. Sisihan piawai merupakan varians dikuasa duakan, ia tidak memberikan maklumat berguna dan ia dilihat sebagai petunjuk serakan skor.

Bab 8 (Collecting Qualitative Data), penulis menerangkan tentang pengumpulan data kualitatif. Saiz sampel dan bilangan tempat kajian adalah berbeza daripada satu kajian kualitatif kepada kajian kualitatif yang lain, bergantung kepada kajian yang dilakukan.
Menurut penulis, temu bual berlaku apabila penyelidik bertanya satu atau lebih soalan umum atau terbuka dan kemudian merekod jawapan peserta. Penyelidik kemudian mentranskrip dan menaip data ke dalam komputer untuk dianalisis. Dokumen mengandungi rekod awam dan swasta yang penyelidik kualitatif perolehi mengenai peserta di dalam kajian. Ia termasuklah surat khabar, minit mesyuarat, jurnal peribadi dan surat.
Bahan audio visual terdiri daripada imej atau bunyi yang dikumpulkan oleh penyelidik dalam membantu mereka memahami fenomena kajian. Imej atau bahan visual terdiri daripada gambar foto, video, imej digital, lukisan, gambar dan lain-lain lagi.

Bab 9 (Analyzing and Interpreting Qualitative Data) adalah berkenaan proses menganalisa dan memperihalkan data kualitatif. Penyelidikan kualitatif merupakan penyelidikan interpretasi dan penyelidik perlu membina makna daripada dapatan.
Triangulasi merupakan proses sokongan bukti daripada individu yang berbeza, jenis data, kaedah pengumpulan data dalam huraian dan tema penyelidikan kualitatif. Semakan ahli pula ialah proses di mana penyelidik bertanya satu atau lebih peserta dalam kajian untuk menyemak ketepatan laporan.

Dalam Bab 10 (Reporting and Evaluating Research), penulis menerangkan tentang laporan penyelidikan. Laporan penyelidikan merupakan kajian lengkap yang melaporkan penyelidikan atau penerokaan masalah, mengenalpasti persoalan untuk dikemukakan dan mengandungi pengumpulan data, analisis dan interpretasi oleh penyelidik. Laporan ini dipersembahkan kepada pengamal pendidikan seperti pentadbir sekolah, guru besar dan guru. Ia melaporkan keputusan yang spesifik daripada kajian, mempersembahkan keputusan dengan ringkas dan jelas.


Bahagian 3 : Research Design

Dalam Bab 11 (Experimental Designs), penulis menjelaskan rekabentuk eksperimen. Eksperimen digunakan apabila penyelidik hendak mengenal pasti kesan dan akibat di antara pemboleh ubah bersandar dan tidak bersandar.
Ujian pra memberikan pengukuran ke atas beberapa sifat atau ciri yang menilai peserta eksperimen sebelum menerima rawatan.
Ujian pos dijalankan selepas rawatan bagi mengukur sifat yang dinilai bagi peserta.
Dalam bab ini juga penulis menjelaskan jenis rekabentuk eksperimen.
Eksperimen sebenar terdiri daripada reka bentuk eksperimen paling kukuh kerana persamaan kumpulan melalui penentuan rawak. Dalam eksperimen sebenar, penyelidik secara rawak menentukan peserta kepada keadaaan yang berbeza ke atas pemboleh ubah eksperimen.
Quasi-eksperimen terdiri daripada penentuan tetapi bukan merawakkan peserta kepada kumpulan kerana penyelidik tidak boleh secara buatan membentuk kumpulan eksperimen. Ujian pra dan ujian pos boleh diaplikasikan ke atas rekabentuk quasi-eksperimen.

Bab 12 (Correlational Designs) menjelaskan reka bentuk korelasi. Dalam rekabentuk kajian korelasi, penyelidik menggunakan ujian statistik korelasi untuk menghuraikan darjah perhubungan di antara dua atau lebih pemboleh ubah atau set skor.
Reka bentuk penyelidikan explanatory ialah penyelidikan di mana penyelidik berminat ke atas dua atau lebih pemboleh ubah di mana perubahan ke atas satu pemboleh ubah menyebabkan perubahan kepada pemboleh ubah yang lain. Reka bentuk ini melibatkan hubungan yang ringkas di antara dua pemboleh ubah atau lebih.
Reka bentuk kajian ramalan (prediction research design) pula untuk mengenalpasti pemboleh ubah yang akan meramal hasil atau ciri.

Bab 13 (Survey Designs) pula menjelaskan berkenaan kajian tinjauan.
Kajian tinjaun ialah prosedur dalam penyelidikan kuantitatif di mana penyelidik mentadbir tinjauan terhadap sampel atau keseluruhan populasi orang untuk menghuraikan sikap, pemdapat, tingkah laku atau ciri populasi.

Bab 14 (Grounded Theory Designs) menjelaskan reka bentuk teori grounded.
Reka bentuk teori grounded merupakan prosedur kualitatif yang sistematik digunakan bagi menjana teori yang menjelaskan tahap konseptual yang luas, proses, tindakan atau interaksi mengenai topik substantif.

Bab 15 (Ethnographic Designs) pula menjelaskan kajian etnografi.
Kajian etnografi merupakan prosedur kajian kualitatif bagi menghuraikan, menganalisi dan interpretasi perkongsian budaya kumpulan dengan berkongsi paten tingkah laku, kepercayaan dan bahasa yang dibentuk mengikut masa.
Kajian kes merupakan penerokaan mendalam mengenai sistem terbatas berdasarkan pengumpulan data yang luas.

Bab 16 (Narrative Research Design) menerangkan tentang kajian naratif.
Dalam reka bentuk kajian naratif, penyelidik menjelaskan kehidupan individu, mengumpul dan bercerita mengenai kehidupan seseorang dan menulis cerita pengalaman individu. Kajian naratif selalunya berfokuskan kajian terhadap seorang individu, mengumpul data melalui koleksi cerita, melaporkan pengalaman individu dan membincangkan makna pengalaman bagi individu.

Bab 17 (Mixed Methods Designs) membincangkan reka bentuk kajian gabungan.
Reka bentuk kajian ini merupakan prosedur bagi pengumpulan, analisis dan menggabungkan kedua-dua data kuantitatif dan kualitatif dalam satu kajian untuk memahami masalah kajian.

Bab 18 (Action Research Designs) membincangkan tentang kajian tindakan.
Reka bentuk kajian ini merupakan prosedur sistematik yang dilakukan oleh guru atau individu yang lain dalam setting pendidikan untuk mendapatkan maklumat dan kemudiannya memperbaiki cara beroperasi dalam sistem pendidikan terhadap pengajaran dan pembelajaran pelajar.

IMPLIKASI TERHADAP PENDIDIKAN KOMPUTER
Buku ini menghuraikan dengan lengkap mengenai kajian dalam pendidikan yang melibatkan perancangan, perlaksanaan dan penilaian. Dalam konteks pendidikan komputer, buku ini memberi panduan dan idea bagi melakukan kajian yang berkaitan dengan pendidikan komputer. Penyelidik pendidikan komputer boleh menjalankan kajian pendidikan komputer dengan menggunakan pendekatan-pendekatan reka bentuk kajian yang bersesuaian dengan masalah yang hendak dikaji.