ARTIKEL KUALITATIF

Kehidupan Seorang Pengaturcara : Satu Kajian Kes

ABSTRAK

Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) telah membawa perubahan kepada gaya hidup masyarakat dunia. Persaingan masyarakat dunia yang lebih hebat dalam abad ke-21 dan perubahan daripada era masyarakat industri (industrial society) kepada era masyarakat bermaklumat (information society) menimbulkan cabaran baru kepada perkembangan ICT. Perkembangan ini telah mempengaruhi cara manusia berfikir dan melakukan sesuatu. Pengaturcaraan komputer berkembang pesat sejajar dengan kemajuan dalam bidang ICT yang lain seperti penggunaan Internet, laman web (web page) dan jaringan (networking). Walaubagaimanapun, bidang ini dianggap sukar kerana ia melibatkan proses kerja yang memerlukan kemahiran berfikir yang tinggi. Kajian kes ini dijalankan untuk meneroka proses-proses yang dilalui oleh pengaturcara serta melihat faktor-faktor yang mempengaruhi kejayaan pengaturcara dalam kerjaya sehingga menjadi pengaturcara yang mahir. Kajian ini melibatkan seorang responden iaitu seorang pengaturcara komputer yang bekerja di salah sebuah syarikat swasta di Cyberjaya, Selangor. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif, di mana pengkaji mendapatkan maklumat daripada responden melalui temubual dan pemerhatian. Dapatan kajian dianalisis dengan mengkategorikan data dengan sub-tema yang bersesuaian dengan tujuan kajian seperti personaliti, proses berfikir dalam melaksanakan pengaturcaraan, persekitaran tempat kerja yang menggalakkan proses belajar pengaturcaraan serta produk yang telah dihasilkan.