ULASAN JURNAL KAJIAN GABUNGAN (MIXED-METHOD)



JURNAL 1

Norasykin Zaid & Zaidatun Tasir. 2007. Penggunaan Teknik Penyelesaian Masalah Dalam Pembangunan Aturcara Komputer Bagi Pelajar Pendidikan. Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia.



Artikel ini menjelaskan satu kajian yang menggunakan kaedah kajian gabungan kuantitatif dan kualitatif untuk mengkaji penggunaan teknik penyelesaian masalah dalam pembangunan aturcara komputer bagi pelajar Fakulti Pendidikan. Pengkaji menerangkan bahawa pengaturcara novis perlu memahami konsep pengaturcaraan yang mana mereka perlu didedahkan dengan kemahiran dan pengetahuan pengaturcaraan. Masalah yang sering dialami oleh pelajar ialah, mereka menganggap membangun suatu aturcara sebagai suatu perkara yang sukar dan kursus pengaturcaraan biasanya mencatat kadar kegagalan yang tinggi.

Dalam kajian ini pengkaji mengenalpasti ciri-ciri yang terdapat pada pengaturcara novis, proses pembelajarannya serta bagaimana pengaturcara novis ini menangani masalam dalam pengaturcaraan.

Pengkaji menetapkan dua objektif dalam kajiannya, iaitu (i) Mengenalpasti tahap kemahiran menyelesaikan masalah pengaturcaraan dan (ii) Mengenalpasti teknik penyelesaian masalah yang digunakan untuk menyelesaikan masalah pengaturcaraan.

Kajian ini menggunakan pelajar Fakulti Pendidikan di Universiti Teknologi Malaysia sebagai responden. Seramai 24 orang pelajar sahaja diambil sebagai sampel kajian. Instrumen kajian adalah soal selidik (kuantitatif), yang mengandungi 6 konstruk iaitu (i) kemahiran memahami masalah, (ii) kemahiran merancang penyelesaian, (iii) kemahiran mereka bentuk penyelesaian, (iv) kemahiran menterjemah penyelesaian, (v) kemahiran menguji penyelesaian dan (vi) kemahiran mendokumentasi penyelesaian. Manakala kaedah pemerhatian dan temu bual digunakan untuk mendapatkan data kualitatif.

Menurut pengkaji lagi, dapatan kajian menunjukkan pelajar kurang menitikberatkan proses merancang sebelum sesuatu pengaturcaraan dilakukan. Pelajar juga didapati mempunyai kemahiran menterjemah penyelesaian yang baik tetapi mempunyai kemahiran mendokumentasi penyelesaian yang kurang baik.

IMPLIKASI TERHADAP PENDIDIKAN KOMPUTER
Seseorang pengaturcara perlu menguasai kesemua kemahiran seperti yang terdapat dalam Common Model oleh Deek (1999), apabila melakukan sesuatu pengaturcaraan. Jika salah satu konstruk dalam model ini diabaikan  pengaturcara tidak akan dapat menyelesaikan masalah pengaturcaraan dengan suatu aturcara yang baik. Oleh itu, sebagai seorang jurulatih, kemahiran-kemahiran tersebut perlu diterapkan dalam pengajaran dan pembelejaran dengan cara yang terbaik supaya produk pengaturcaraan yang dihasilkan memberi kesan kepada pengaturcara.






JURNAL 2


                        Barak M., Lipson A. & Lerman S. 2006. Wireless Laptops as Means for Promoting Active Learning. Massachusetts Institute of Technology.

Jurnal ini mengulas kajian tentang penggunaan komputer riba tanpa wayar (wireless laptops) bagi menggalakkan pembelajaran aktif di dalam dewan kuliah (subjek pengaturcaraan); mengkaji tingkahlaku pelajar dan penerimaan mereka terhadap persekitaran ‘baru’ tersebut.

Kajian ini berbentuk kajian gabungan (mixed-method). Data diperolehi daripada soalselidik secara dalam talian (online survey) - (data kuantitatif) dan juga pemerhatian di dalam kelas (class observation) - (data kualitatif).  Soalselidik dijalankan selama 3 semester, dan seramai 318 pelajar yang menghadiri kelas pengaturcaraan telah terlibat. Pelajar-pelajar tersebut mempunyai latar belakang akademik yang berbeza, kursus yang berbeza dan pengalaman pengaturcaraan yang pelbagai.

Soalselidik dalam talian dilakukan pada hujung setiap semester, dengan tujuan untuk mengetahui penerimaan pelajar terhadap penggunaan komputer riba tanpa wayar di dalam kelas pengaturcaraan. Soalselidik ini mengandungi 35 soalan; open and close-ended questions. Soalan-soalan berkisar tentang penggunaan komputer riba yang mempengaruhi pembelajaran aktif di dalam kelas dan pencapaian pembelajaran pelajar setelah penggunaan komputer riba di dalam dewan kuliah dilaksanakan. Pemerhatian di dalam kelas pula dilaksanakan dengan mengambil rakaman video pada setiap kuliah pengaturcaraan. Rakaman ini akan dianalisis untuk dibuat laporan pemerhatian.

Dapatan kajian merumuskan bahawa, terdapat aspek positif dalam penggunaan komputer riba di kalangan pelajar ketika kuliah, iaitu peningkatan dari segi pembelajaran berpusatkan pelajar, pembelajaran secara hands-on serta pelajar mengalami persekitaran pembelajaran secara eksplorasi. Walaubagaimanapun, terdapat juga aspek negative iaitu, kurangnya proses pembelajaran aktif di dalam kelas. Ini adalah kerana computer riba menjadi faktor ‘pengganggu’ (source of distraction) yang mana pelajar menggunakan computer riba bagi tujuan lain selain pengaturcaraan ketika di dalam kelas, seperti chatting, melihat blog dsb. Ini akan mengganggu konsentrasi pelajar ketika kuliah dilaksanakan.

IMPLIKASI TERHADAP PENDIDIKAN KOMPUTER 
Sebagai seorang jurulatih / guru, penggunaan komputer riba atau bahan P&P yang lain ketika pengajaran amat digalakkan untuk pembelajaran yang lebih efektif. Walaubagaimanapun, beberapa garis panduan perlu dibuat bagi menjamin pelajar / peserta kursus akan fokus kepada pengajaran yang dilaksanakan.